![]() |
![]() |
![]() |
|
|
Perkembangan koleksi peribadi di Malaysia agak masih ketinggalan jika dibandingkan perkembangannya di Eropah. Di Eropah beberapa perpustakaan termasuk di pusat-pusat pengajian tinggi menjadi terkenal kerana ianya mempunyai sesebuah koleksi istimewa serta menjadi tumpuan para sarjana yang memerlukan bahan tersebut untuk dijadikan sebagai bahan rujukan mereka.
Di Malaysia usaha murni ini telah dimulakan oleh beberapa orang perseorangan yang turut menyumbang koleksi peribadi mereka kepada perpustakaan. Sebagai contohnya di Universiti Malaya, Pendita Zaaba telah menyumbangkan ribuan koleksi peribadi beliau kepada perpustakaan tersebut. Koleksi ini sekarang terkenal dengan nama 'Koleksi Zaaba'. Selain daripada koleksi itu, terdapat juga koleksi-koleksi lain seperti 'Koleksi Ibrahim Yaakob', 'Koleksi M.B. Hooker' dan 'Koleksi Pintado'. Manakala pada tahun 1982, penulis Harun Aminurashid telah menyumbangkan 2,956 buah koleksi peribadi beliau kepada Universiti Kebangsaan Malaysia. Koleksi-koleksi peribadi lain yang terdapat di Universiti Kebangsaan Malaysia ialah 'Koleksi Schacht' dan 'Koleksi N.A. Halim'.
Usaha pengumpulan koleksi peribadi ini juga turnt dilakukan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), di mana 'Koleksi Ismail Hussein' merupakan koleksi peribadi yang terbesar di perpustakaan ini. Selain daripada 'Koleksi Ismail Hussein' terdapat juga koleksi peribadi lain seperti 'Koleksi Abdullah Hussain', 'Koleksi Wan Ibrahim', 'Koleksi Salleh Ibrahim' dan 'Koleksi Shahnon Ahmad'.
Pengwujudan koleksi-koleksi peribadi ini secara tidak langsung dapat mengkayakan khazanah yang sedia ada dan ianya juga menjadikan koleksi perpustakaan PPAK lebih istimewa jika dibandingkan dengan koleksi-koleksi perpustakaan yang lain.
|
|||